JANGAN MENGAMALKAN SIFAT BERDENGKI. (86)
Dengki dalam bahasa Arab disebut hasad(حَـسَــدَ) . Orang yang bersifat dengki bercita-cita untuk menghilangkan nikmat (kesenangan) dari orang lain. Nikmat atau kesenangan itu berbagai-bagai jenisnya. Pangkat, kedudukan, kekayaan dan semua pemberian Tuhan yang sifatnya membawa kebahagian termasuk nikmat.
Seorang hamba Allah yang baik seharusnya ikut gembira dan bersyukur, apabila melihat saudaranya atau rakannya menerima anugerah atau nikmat itu. Tetapi apabila iri hati yang bersemai dalam hatinya, maka yang tumbuh dalam batin manusia itu adalah penyakit hasad dengki.
Oleh sebab itu apabila penyakit hasad sudah mula bersarang dalam hati, segeralah berusaha mengubatinya dengan cara seperti berikut, Insya’ Allah kita akan jadi baik:
a. Minta maaf kepada orang yang di dengki (di hasad) walaupun terasa sukar. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:”Berjabat tanganlah kamu meminta maaf, nescaya akan hilang daripada mu penyakit dengki, tunjuk-menunjuk dan cinta mencintailah kamu nescaya akan hilang iri hati” (Hadis Riwayat Imam Malik)
b. Menyedari dan mengingati bahawa semua nikmat yang diberikan Allah kepada umat manusia yang dikehendaki Nya, sudah pasti tidak merugikan orang lain. Sebab nikmat yang diberikan Allah kepada seseorang tidak ada kaitan dengan orang lain.
c. Kita hendaklah beringat bagaimana jika kita di anugerah nikmat seperti itu, dan bagaimana pula JIKA ada orang berdengki pada kita, apa perasaan kita pula?.
d. Kita hendaklah ambil tahu bagaimana dia boleh berjaya sehingga dikurniakan nikmat-nikmat tersebut. Kita ambil teladan pula bagaimana caranya, dan kita buat seperti itu, tentu kita akan berjaya.
e. Kita hendaklah bersabar dan dengan kesabaran itu Allah akan mengurniakan nikmat-nikmat tersebut pada kita.
f. Orang bersifat dengki sudah pasti rugi. Sebab hatinya selalu susah, makan tidak kenyang dan tidur pun tidak nyenyak. Sedangkan orang yang di dengki dalam bahagia hidupnya.
g. Apabila kita selalu mengingati apa yang telah disebutkan di atas, kita akan terlepas dari penyakit dengki dan tidak akan mencari jalan supaya sesuatu nikmat orang itu lenyap dari seseorang itu.
Kesimpulannya janganlah kita berdengki dan berkhianat bukan sahaja sesama Islam tetapi juga sesama manusia di alam ini. Justeru itu kita akan berjaya. Amalkanlah akhlak yang mulia….!
------------------------ooooooooooooooo-----------------------
No comments:
Post a Comment