Wednesday, January 25, 2012

RIAK DALAM BERPAKAIAN

Gambar hiasan

RIAK DALAM BERPAKAIAN.

Orang riak biasanya memakai pakaian yang cantik-cantik, perhiasan yang mahal-mahal dan beraneka jenis dengan harapan agar dia disebut orang kaya, mampu dan pandai berusaha sehingga melebihi orang lain.

Jika sifat seperti ini sudah melekat pada dirinya, dia tidak akan segan-segan meminjam pakaian dan barang-barang kemas dari orang lain, apabila kebetulan dia tidak memilikinya. Tujuannya hanya untuk mempamir dan ingin mendapat pujian. Jadi orang itu berpakaian tidak kerana mematuhi ajaran agama untuk menutup aurat, tetapi kerana bersifat riak. Itulah di antara contoh-contoh riak yang sangat dicela oleh agama Islam.

Sebenarnya riak itu tidak akan mendatangkan keuntungan, bahkan akan mendatangkan kerugian. Orang riak tidak akan mendapatkan ketenangan, kerana kesenangan yang diharapkan sangat bergantung pada orang lain, iaitu kerana sanjungan dan pujian. Kesenangan dan kebahagian itu akan segera hilang, apabila tidak ada lagi yang memuji dan melihatnya. Atau barang yang dipinjamnya rosak atau hilang.

Sifat riak akan melemahkan semangat dan kemahuan, kerana ia bergantung kepada keadaan, apakah ada orang yang melihat segala perbuatannya atau ada orang yang memujinya. Selain melemahkan peribadi, juga akan melemahkan iman. Bahkan dapat menjurus kepada syirik kecil, kerana menyangka dan berperasaan yang dia lebih cantik dari Allah, pada hal nikmat itu diberi oleh Allah swt.

Justeru itu penulis menyeru kita semua supaya kita rentikan segala amalan riak itu sama ada dalam cara berpakaian mahu pun tingkah laku yang riak itu semoga kita akan dikurniakan banyak pahala dan segala ibadat kita di terima Allah SWT.in

-----------------------------ooooooooooooooooooooooo----------------------

KAWAL MARAH MENDAPAT ERAT SILATURAHIM DAN MENINGKATKAN IMAN .

KAWAL MARAH MENDAPAT ERAT SILATURAHIM DAN MENINGKATKAN IMAN

Kita bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan kurniaan nikmat Nya kepada kita pada hari ini, terutamanya dengan umur yang diberikan kepada kita, kepada kurniaan kesihatan dan rezeki yang diberikan kepada kita dan begitu juga dengan kedudukan pekerjaan yang kita sandangkan hari ini menyebabkan kita mewah, ceria dan aman makmur.

Dalam menjalankan tugas seharian, kita sentiasa berhubung tiga penjuru dengan kategori kumpulan yang berbeza watak, peribadi dan sifat dan ini memerlukan kemahiran dan kekuatan mengurus perasaan dan juga minda supaya kerja yang dijalankan secara profesional, bermanfaat dan mengundang rahmat dari Allah s.w.t.

Profesional bukan sahaja dilihat pada hasil atau output kerja semata-mata. Sebaliknya, yang seiring menjadi asas penilaian serta kepercayaan terutama bagi pelanggan ialah cara berurusan dan layanan baik kepada mereka. Jabatan Kerajaan dan Syarikat ternama dengan produknya yang berkualiti juga boleh terjejas imejnya di kalangan pelanggan hanya disebabkan oleh panggilan telefon yang tidak dijawab dengan mesra dan percakapan yang sombong oleh petugasnya atau tutur kata dan layanan yang kurang sopan, bertimbang rasa, betul, mesra dan berhemah.

Dalam menjaga hubungan interpersonal dan berurusan dengan pelanggan, Islam telah menengahkan satu kaedah efektif yang mudah dan murah iaitu dengan mengurus kemarahan. Mengurus kemarahan bererti menahan serta mengawalnya di mana-mana dan dengan sesiapa jua adalah kaedah yang sangat efektif untuk menzahirkan profesionalisme apabila berurusan dan bertindak khasnya di tempat kerja.

Sabda Rasulullah s.a.w. daripada Abu Hurairah r.a. yang bermaksud “Seorang lelaki telah berkata kepada Nabi s.a.w.., berikanlah wasiat kepada ku. Jawab Baginda, “Janganlah engkau marah. Kemudian di ulang beberapa kali. Janganlah engkau marah-marah” (Hadis sahih riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Pesanan Rasulullah s.a.w. ini sungguh ringkas, tetapi yang sangat berguna. Ia bermaksud mengawal dan menahan nafsu kemarahan yang berlebihan dan membawa keburukan. Bukannya bermaksud menghilangkannya kerana itu mustahil bagi tabiat semula jadi makhluk dan juga kerana kemarahan yang betul cara ia diluahkan dan sesuai dengan keadaan dan masanya juga mempunyai manfaat. Iaitu marah yang tidak mengikut rasa hati semata-mata atau kerana membalas dendam atau kerana sesuatu yang remeh dan kecil kesannya, apatah lagi marah tanpa sebab.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud “ Kemarahan itu daripada syaitan dan syaitan diciptakan dari api. Api dipadamkan oleh air. Oleh itu, jika ada di antara kamu yang merasa marah. Hendaklah ia mengambil wuduk.” (Riwayat Imam Ahmad)

Ketahuilah bahawasanya mengurus kemarahan bukan sahaja dapat mewujudkan perhubungan yang baik sesama manusia bahkan dapat menghindarkan daripada kemurkaan Allah s.w.t. seperti yang dinyatakan oleh sahabat Rasulullah s.a.w. Amru bin al-As serta dijanjikan syurga baginya.

Firman Allah s.w.t. dalam Surah Ali-Imran, ayat 133-134 yang bermaksud:

“Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu dan mendapat syurga yang seluas langit dan bumi, dan disediakan bagi sekalian yang bertakwa iaitu mereka yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan mereka yang menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah Maha mengasihi mereka yang melakukan kebaikan.”:

Wahai saudara ku sekalian. Mengurus kemarahan perlu dilatih untuk mengawal emosi dan memelihara perhubungan interpersonal. Oleh itu marilah kita mengurus kemarahan dengan cara yang profesional dengan cara semasa berinteraksi dan berkomunikasi sesama pelanggan, rakan, majikan khasnya sesama Islam untuk membentuk persekitaran kerja dan keadaan yang harmoni, menjaga imej organisasi, menguatkan kepercayaan pelanggan, menjauhkan diri daripada kemurkaan Allah s.w.t. serta yang paling utamanya ialah meningkatkan kesempurnaan iman kita.

Sekian, wassala mualaikum…….

ADAB ISTERI KEPADA SUAMINYA.





ADAB ISTERI KEPADA SUAMINYA.

Ketahuilah bahawa sebagaimana isteri mempunyai beberapa hak dari suaminya, yakni suami wajib menunaikan segala tanggungjawabnya kepada isterinya, maka suami juga mempunyai beberapa hak dari isterinya. Segala yang menjadi hak suami itu bererti kewajipan isteri untuk menunaikannya setiap masa untuk suaminya.

Berkelakuan baik.

Isteri wajib menunjukkan sikap yang baik kepada suaminya. Isteri mesti menunjukkan wajah yang ceria, tidak bermasam muka, walau pun dalam keadaan suasana tidak tenteram, sentiasa senyum dan tidak memarahi anak-anak di hadapan suaminya.


Isteri mesti pandai membuat suasana yang dapat tenteram dan tenang jiwa suaminya. Isteri tidak boleh memberi tahu suaminya perkara yang tidak baik apabila suami balik dari kerja atau dari ziarahi yang jauh.

Dia tidak boleh meminta hal-hal yang dianggap oleh suaminya tidak mampu diberikan. Isteri hendaklah melayan kehendak suaminya yang ia mampu diberikan atau yang tidak menyalahi syariat Islam.

Taat kepada suami.

Allah SWT menjadikan suami sebagai pemimpin rumah tangga, sesuai dengan firman Nya yang bererti:-

“Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh sebab Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian harta merdeka.” (Al-Quran Surah An-Nisa’ aya t34).

Oleh itu isteri sepatutnya mentaati segala perintah atau permintaan suaminya selama yang dimintanya itu tidak bertentangan dengan hukum syarak. Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila seseorang perempuan itu solat lima waktu, puasa sepanjang Ramadan, dia pelihara kemaluannya dan dia ta’ati suaminya maka dikatakanlah kepadanya: ”Masuklah ke dalam syurga dari pintu yang mana sahaja yang engkau sukai. (H.R. Ahmad dan Tabrani)

Melayan kehendak suami.

Isteri wajib menuruti kehendaki suaminya dalam hal yang berkaitan dengan tempat tidur. Dia wajib menuruti permintaan suaminya walaupun dia sedang sibuk di dapur, maka kalau dia enggan malaikat akan mengutuknya sampai pagi hari. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

“Apabila seseorang suami mengajak isterinya ke tempat tidurnya, kemudian isteri tidak mahu datang, lalu si suami tidur dalam keadaan marah kepadanya, maka dia (isteri) akan dilaknat malaikat sampai pagi esoknya.” (H.R. Bukhati dan Muslim)

Dalam hal ini si suami hendaklah bertimbang rasa dan jangan mahu melayan nafsu yang dihasut oleh sayaitan itu, dan janganlah mengajak isterinya kalau isteri, tidak siap untuk itu, kurang sihat, sibuk bekerja, melayan anak-anak atau sebagai lagi.

Sekian dahulu dan akan bersambung lagi secepat mungkin.



------------ooo---------------


Apakah Itu Fitnah


Apakah Itu Fitnah

Dari Tanyalah Ustaz ( Jumaat 20 Aug. 2010):


FITNAH itu boleh berpunca daripada 4 perkara :-


i) Hati yang jahat yang mengandungi perasaan tamak dan haloba. Juga hati yang mengandungi dendam kepada seseorang itu. Termasuklah dendam ehwal dalam parti politik.


ii) Prasangka yang terlintas dalam hati atau fikiran yang diucapkan pada orang lain,

maksudnya, prasangka buruk yang terlintas dalam hati dan fikiran kita tentang seseorang, kita ceritakan pada orang lain. Andainya prasangka buruk yang kita luahkan itu adalah sesuatu yang betul, ia akan menjadi umpatan, sekiranya ia sesuatu yang tidak benar ia menjadi fitnah


iii) Cerita yang tidak lengkap yang agak-agak sahaja atau di reka-reka untuk hendak memburukkan seseorang.


iv) Cerita atau Berita yang ditokok tambah untuk kepentingan diri sendiri atau kroninya supaya beroleh keuntungan dengan berita membuat fitnah itu.

Oleh itu ... saranan penulis ... pada semua dan diri sendiri ... hendaklah bertekad untuk tidak terjebak dalam masalah fitnah atau mengumpat!!! InsyaALLAH :-

I) BERSIHKAN hati daripada sebarang kejahatan atau unsur-unsur yang kotor

dan hendaklah mengamalkan akhlak yang mulia.


II) Yang terlintas dalam hati itu simpan dalam hati, tak payah diluahkan ... & istighfar bayak-banyak agar tidak dimainkan oleh iblis & kuncu-kuncunya.


III) Siasat dulu sebarang cerita atau berita yang didengar, jangan terus menghukum.
Kita kan kaya dengan ayat tanya : Siapa, Bila, Di mana, Mengapa, Bagaimana, Kenapa .. gunakan semuanya!!!


IV) Sebarang cerita atau berita yang ingin disebarkan, kalau bertulis, guna teknik "COPY & PASTE" (setakat betulkan ejaan bolehlah)


Kalau secara lisan, sekarang ni handphone kan ada voice recorder, kita "RECORD & REPLAY" .. degan ini tak ada kemungkinan utuk menokok & menambah sehingga cerita yang kecil menjadi besar, yang tak sensasi jadi sensasi, yang remeh jadi kecoh etc.. etc.. etc

Untuk renungan…Salinan dari Mine..just..Mine…!



----------------------ooooooooooooooo---------------------------

Tunaikanlah solat berjemaah di masjid

ADAB DAN AKHLAK RASULULLAH SAW


ADAB DAN AKHLAK RASULULLAH SAW

Sebagaimana yang diriwayatkan mengenai perilaku Rasulullah s.a.w., bahawa baginda tidak pernah sama sekali memukul seorang pun dengan tangannya, melainkan dipukulnya kerana fi sabillah Taala. Baginda juga tidak pernah memeram dendam kerana sesuatu yang dilakukan ke atas dirinya sendiri, melainkan bila melihat kehormatan Allah dicabuli.

Jika baginda diminta untuk memilih antara dua perkara, tanpa ragu-ragu lagi baginda akan memilih yang paling ringan dan mudah antara keduanya, kecuali jika pada perkara itu ada dosa, atau pun akan menyebabkan terputusnya perhubungan solaturrahim, maka baginda akan menjadi orang yang paling jauh sekali daripadanya. Tiada pernah seseorang yang datang kepada Nabi s.a.w., baik ia merdeka atau hamba sahaya atau pun amah (hamba sahaya perempuan) mengadukan keperluannya, melainkan baginda akan memenuhi hajat masing-masing.

Berkata Anas r.a. “Demi zat yang mengutusnya dengan kebenaran, Dia (Nabi) tiada pernah berkata pada ku dalam perkara yang tiada diingininya, seperti “Mengapa engkau lakukan itu.” Dan apabila isteri-isterinya memarahi ku atas sesuatu yang aku lakukan tidak baik, maka Dia berkata kepada mereka “Biarkanlah si Anas itu, jangan dimarahi Dia, sebenarnya tiap-tiap sesuatu itu berlaku menurut ketentuan dan qadar.”

Termasuk akhlaknya yang mulia, ialah memulakan memberi salam kepada sesiapa sahaja yang di temuinya. Jika ada orang yang mendesaknya kerana sesuatu keperluan, Dia menyabarkannya sehingga orang itu memalingkan muka daripada Baginda. Bila berjumpa dengan salah seorang sahabatnya, segera Dia dahulu akan menghulurkan tangan untuk berjabat tangan. Baginda tidak pernah bangun atau duduk, melainkan lidahnya sentiasa menyebut nama Allah. Sering kali bila sedang sembahyang, lalu ada tetamu yang datang kerana sesuatu keperluan, maka segeralah Dia meringkaskan sembahyangnya untuk menyambut tetamu itu seraya bertanya kepada tetamu itu “Apakah hajat anda untuk saya lalukan.?

Bila baginda berada di dalam sesuatu majlis antara para sahabatnya, tidak pernah dikhususkan satu tempat baginya, melainkan di mana sahaja baginda sampai, di situlah Dia duduk. Baginda selalu menghormati sesiapa sahaja yang mendatanginya, sehingga terkadang-kadang Baginda sampai menghamparkan jubahnya supaya orang itu duduk di atasnya. Sering kali pula Baginda memberikan bantal sandarnya kepada orang yang datang itu, supaya orang itu selesa bersandar padanya. Bila di dalam suatu majlis yang ramai, Baginda menghadapkan wajahnya kepada semua hadirin, satu lepas satu, sehingga seolah-olah kesemua mereka yang berada di dalam majlis itu mendengar percakapannya, untuk menjadi tanda kehalusan budi pekertinya dan perhatiannya di tumpukan kepada setiap orang yang duduk bersamanya di dalam majlis itu. Pada hal majlis Rasulullah s.a.w. itu umumnya ialah majlis yang diliputi oleh kesopanan, kerendahan diri dan amanah.

Allah SWT telah berfirman di dalam al-Quran Surah Ali-Imran, ayat 159 yang bermaksud:

“Oleh sebab rahmat Tuhan, Engkau bersikap lemah lembut terhadap mereka, dan kiranya Engkau berbudi kasar dan berhati bengis, nescaya mereka akan lari dari sekeliling mu.” (Ali Imran ayat 159)

Baginda lebih suka memanggil pada sahabatnya dengan nama gelaran masing-masing untuk menghormati mereka dan memikat hati mereka. Sesiapa yang tidak punya nama gelaran, Baginda memberinya nama gelaran, lalu ia pun dipanggil dengan gelaran itu. Bukan kaum lelaki sahaja yang diberi nama gelaran malah kaum wanita juga, sama ada yang pernah melahirkan anak mahupun yang tidak. Bahkan kepada anak-anak kecil pun demikian juga, sehingga hati anak-anak itu tertarik kepada peribadi Rasulullah s.a.w. itu.

Baginda Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang amat jarang marahnya, terapi jika marah paling segera reda pula. Baginda adalah orang yang berhati belas kasihan terhadap orang ramai, paling baik antara mereka sekalian, dan paling banyak memberikan manfaat kepada seluruh manusia tidak pernah sekali pun terdengar suara yang meninggi diri di dalam semua majlisnya.

Apabila bangun dai majlisnya, Baginda sering kali membaca:

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلـَهَ إِلَّا أَنْتَ

أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلـَيْكَ.

Maksudnya:”Maha suci Engkau wahai Tuhan ku, dengan segala kepujian bagi Mu, aku menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Engkau, aku memohon keampunan kepada Mu dan aku bertaubat kepada Mu.”

Kesimpulan.

Kita hendaklah mengambil iktibar bahawa mengenai akhlak Rasulullah s.a.w. itu bahawa Baginda tidak pernah berdendam sesama manusia dan sentiasa bersabar. Baginda tidak pernah memarahi sesiapa pun. Baginda apabila berjumpa para sahabat dan sesiapa pun Baginda dahulu bersua tangan memulakan memberi salam. Apabila berada di dalam sesuatu majlis Baginda tidak memerlukan satu tempat yang khas bagi Baginda. Baginda suka mengambil nama para sahabat, dengan gelaran yang diberikan dengan tujuan lebih mendapat kesukaan mereka. Baginda amat menaruh sifat belas kasihan dan selalu memberikan perkara-perkara yang mendatangkan manfaat kepada manusia.

Justeru itu marilah kita bersama mengikuti segala adab dan akhlak Rasulullah s.a.w. semoga kita akan beroleh kedamaian dan kemakmuran di dunia dan di akhirat. Amin…..!

---------------------oooooooooooo-----------------

KELALAIAN KERANA MABUK HARTA


KELALAIAN KERANA MABUK HARTA

. Kelalaian kerana Kemabukan Harta.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَن ِ الرَّحِيـم .

اسَّلآمُ عَـلـَيْكـُمْ وَرَحْمَـة ُاللهِ وَبَرَكــَتـُه

Segala pujian bagi Allah s.w.t. Tuhan yang mencipta segala kejadian. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarga dan sahabat-sahatnya sekalian.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَن ِ الرَّحِيـم ِ.

إِنَّ اللهَ وَمَلـَـءِـكَتـَهُ يُصَلـُّوْنَ عَلىَ النَّبِىِّ ج

يَــأ يُّهَا الـَّذِيْنَ ءَا مَنُوْا صَلـُّوْا عَلـَيْهِ وَسَلـِّمُوْا تَسْلِيْمـًـا.


”Allah dan para malaikat memberikan rahmat kepada Nabi. Wahai Orang-orang beriman, berikanlah selawat dan salam kepadanya.

(Al-Ahzab(33); ayat 56.

Firman Allah s.w.t:-

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَن ِ الرَّحِيـم ِ.

وَالـْعَصْرِ (1) إ نَّ الْإِنْسَانَ لـَفِى خُسْرٍ (2)

إ ِلا الـَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَمِلـُوا الصَّلـِحَتِ وَتَوَاصَوْا بِالـْحَقِّ

وَتـَوا صَوْا بِالصَّبْرِ (3)

(1). Demi masa (2) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.

(3). Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berwasiat (nasihat-menasihati) dengan kebenaran dan berwasiat dengan kesabaran

Wahai hamba Allah..! bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengerjakan segala perintahNya dan menjauhkan segala laranganNya.

Kelalaian kerana Kemabukan.

Sabda Rasulullah s.a.w. :

غَشِيَتْكـُمُ السَّكـْرَتَانِ, سَكـْرَةُ حُبِّ الـْعَيْشِ وَحُبِّ الـْجَهْلِ فَعِندذَلـِك لآ تَأْ مُرُونَ بِالـْمَعْرُوفِ, وَلآ تَنْهَوْنَ عَنِ الـْمُنْكـَرِ. وَالـْقَاءِـمُونَ بِالـْكِتَابِ وَالسَّنَّةِ كـَالسَّا بِقِيْنَ الأ وَّلِيْنَ من الـْمُهَاجِرين الْ أنـْصَار. (رواه أبو نعيم عن عاءـشة.)

Bermaksud:-

Telah meliputi akan fikiran kamu oleh dua kelalaian atau kemabukan iaitu

:(1). Mabuk kerana kasih akan hidup di dunia

(2). Mabuk kerana kasih akan barang yang membawa kepada kejahilan, di waktu itu tidak lagilah kamu menyuruh-nyuruh dengan kebajikan, dan melarang yang mungkar, maka siapa yang berpregang dengan Al-Quran dan Hadith dimasa itu ialah sebagai sahabat-sahabat yang dahulu, ahli Mekah, dan ahli Madinah.”

Ulasan.

Manusia sentiasa mengisikan fikiran dan khayalannya sehari-harian dengan dua perkara:-

(1). Ia mabuk dengan fikiran yang amat mengasihi dunia ini yang ianya sentiasa boleh melakukan kemungkaran, kepuasan nafsunya, dapat mengikuti segala ajakan syaitan dengan perkara-perkara akhlak yang buruk dari ajaran Islam.

(2). Manusia mabuk kerana terlalu kasih akan barangan yang membawa kepada kejahatan seperti mempunyai wang banyak yang sentiasa digunakan untuk melakukan maksiat, mempunyai kereta mewah yang boleh ianya berpoya-poya dengan wanita-wanita cantik dan dapat pula melakukan perzinaan, dapat pergi ke tempat-tempat maksiat dan mudah meminunm arak, mudah menipu manusia lain dengan menunjukkan perbuatan riak dan sombong serta bermegah-megah dengan rumahnya yang tersegam besar itu.

Dikala itu tidak lagilah ia mahu menyuruh-menyuruh orang lain mahupun dirinya sendiri untuk melakukan dengan kebajikan dan melarang kemungkaran kerana terlalu kasih akan dunia ini.

Hanya mereka yang berpegang dengan ajaran al-Quran dan al-Hadith sahaja dikala itu akan jadilah sebagai sehabat-sehabat Nabi s.a.w. yang dahulu iaitu ahli Mekah dan ahi Madinah dan mereka itulah yang menjadi orang yang beruntung yang dapat masuk syurga. Firman Allah s.w.t. dalam al-Quran, surah At-Talaq ayat 2 dan 3 :-

وَمَنْ يـَتـَّقِ الله َ يَجْعَلْ لـَّهُ مَخْرَجـًا 2).( وَيـَرْزُقـْهُ مِنْ حـَيْثُ لاَ يـَحـْتـَسِبُ ج. وَمَنْ يَتـَوَكـَّلْ عَلىَ اللهِ فـَهُوَ حَسْبُهُ ج إِنَّ اللهَ بـَلـِغُ أ َمْر ِهِ ج قـَدْ جَعَلَ اللهُ لـِكـُلِّ شَىْءٍ قـَدْرًا (3(

”Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Allah akan lepaskan ia dari masalah hidup dan diberikan Nya rezeki dari sumber yang tidak diduga. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. (At-Talaq ayat 2 dan 3).

Sekian dahulu, semoga kita dapat bersama-sama bermenung dan memikirkan segala perkara tersebut di atas demi untuk kebahagan kita di dunia dan di khirat.

Wassala mualaikum warahmatulla hiwabarakatuh....!

وَالسَّلَامُ عَلـَيْكُمْ وَرَحْمَة ُ اللهِ وَبَرَكـَـتُـهُ.

-----------oooooooooooooo------------