Wednesday, January 25, 2012

RIAK DALAM BERPAKAIAN

Gambar hiasan

RIAK DALAM BERPAKAIAN.

Orang riak biasanya memakai pakaian yang cantik-cantik, perhiasan yang mahal-mahal dan beraneka jenis dengan harapan agar dia disebut orang kaya, mampu dan pandai berusaha sehingga melebihi orang lain.

Jika sifat seperti ini sudah melekat pada dirinya, dia tidak akan segan-segan meminjam pakaian dan barang-barang kemas dari orang lain, apabila kebetulan dia tidak memilikinya. Tujuannya hanya untuk mempamir dan ingin mendapat pujian. Jadi orang itu berpakaian tidak kerana mematuhi ajaran agama untuk menutup aurat, tetapi kerana bersifat riak. Itulah di antara contoh-contoh riak yang sangat dicela oleh agama Islam.

Sebenarnya riak itu tidak akan mendatangkan keuntungan, bahkan akan mendatangkan kerugian. Orang riak tidak akan mendapatkan ketenangan, kerana kesenangan yang diharapkan sangat bergantung pada orang lain, iaitu kerana sanjungan dan pujian. Kesenangan dan kebahagian itu akan segera hilang, apabila tidak ada lagi yang memuji dan melihatnya. Atau barang yang dipinjamnya rosak atau hilang.

Sifat riak akan melemahkan semangat dan kemahuan, kerana ia bergantung kepada keadaan, apakah ada orang yang melihat segala perbuatannya atau ada orang yang memujinya. Selain melemahkan peribadi, juga akan melemahkan iman. Bahkan dapat menjurus kepada syirik kecil, kerana menyangka dan berperasaan yang dia lebih cantik dari Allah, pada hal nikmat itu diberi oleh Allah swt.

Justeru itu penulis menyeru kita semua supaya kita rentikan segala amalan riak itu sama ada dalam cara berpakaian mahu pun tingkah laku yang riak itu semoga kita akan dikurniakan banyak pahala dan segala ibadat kita di terima Allah SWT.in

-----------------------------ooooooooooooooooooooooo----------------------

KAWAL MARAH MENDAPAT ERAT SILATURAHIM DAN MENINGKATKAN IMAN .

KAWAL MARAH MENDAPAT ERAT SILATURAHIM DAN MENINGKATKAN IMAN

Kita bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan kurniaan nikmat Nya kepada kita pada hari ini, terutamanya dengan umur yang diberikan kepada kita, kepada kurniaan kesihatan dan rezeki yang diberikan kepada kita dan begitu juga dengan kedudukan pekerjaan yang kita sandangkan hari ini menyebabkan kita mewah, ceria dan aman makmur.

Dalam menjalankan tugas seharian, kita sentiasa berhubung tiga penjuru dengan kategori kumpulan yang berbeza watak, peribadi dan sifat dan ini memerlukan kemahiran dan kekuatan mengurus perasaan dan juga minda supaya kerja yang dijalankan secara profesional, bermanfaat dan mengundang rahmat dari Allah s.w.t.

Profesional bukan sahaja dilihat pada hasil atau output kerja semata-mata. Sebaliknya, yang seiring menjadi asas penilaian serta kepercayaan terutama bagi pelanggan ialah cara berurusan dan layanan baik kepada mereka. Jabatan Kerajaan dan Syarikat ternama dengan produknya yang berkualiti juga boleh terjejas imejnya di kalangan pelanggan hanya disebabkan oleh panggilan telefon yang tidak dijawab dengan mesra dan percakapan yang sombong oleh petugasnya atau tutur kata dan layanan yang kurang sopan, bertimbang rasa, betul, mesra dan berhemah.

Dalam menjaga hubungan interpersonal dan berurusan dengan pelanggan, Islam telah menengahkan satu kaedah efektif yang mudah dan murah iaitu dengan mengurus kemarahan. Mengurus kemarahan bererti menahan serta mengawalnya di mana-mana dan dengan sesiapa jua adalah kaedah yang sangat efektif untuk menzahirkan profesionalisme apabila berurusan dan bertindak khasnya di tempat kerja.

Sabda Rasulullah s.a.w. daripada Abu Hurairah r.a. yang bermaksud “Seorang lelaki telah berkata kepada Nabi s.a.w.., berikanlah wasiat kepada ku. Jawab Baginda, “Janganlah engkau marah. Kemudian di ulang beberapa kali. Janganlah engkau marah-marah” (Hadis sahih riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Pesanan Rasulullah s.a.w. ini sungguh ringkas, tetapi yang sangat berguna. Ia bermaksud mengawal dan menahan nafsu kemarahan yang berlebihan dan membawa keburukan. Bukannya bermaksud menghilangkannya kerana itu mustahil bagi tabiat semula jadi makhluk dan juga kerana kemarahan yang betul cara ia diluahkan dan sesuai dengan keadaan dan masanya juga mempunyai manfaat. Iaitu marah yang tidak mengikut rasa hati semata-mata atau kerana membalas dendam atau kerana sesuatu yang remeh dan kecil kesannya, apatah lagi marah tanpa sebab.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud “ Kemarahan itu daripada syaitan dan syaitan diciptakan dari api. Api dipadamkan oleh air. Oleh itu, jika ada di antara kamu yang merasa marah. Hendaklah ia mengambil wuduk.” (Riwayat Imam Ahmad)

Ketahuilah bahawasanya mengurus kemarahan bukan sahaja dapat mewujudkan perhubungan yang baik sesama manusia bahkan dapat menghindarkan daripada kemurkaan Allah s.w.t. seperti yang dinyatakan oleh sahabat Rasulullah s.a.w. Amru bin al-As serta dijanjikan syurga baginya.

Firman Allah s.w.t. dalam Surah Ali-Imran, ayat 133-134 yang bermaksud:

“Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu dan mendapat syurga yang seluas langit dan bumi, dan disediakan bagi sekalian yang bertakwa iaitu mereka yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan mereka yang menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah Maha mengasihi mereka yang melakukan kebaikan.”:

Wahai saudara ku sekalian. Mengurus kemarahan perlu dilatih untuk mengawal emosi dan memelihara perhubungan interpersonal. Oleh itu marilah kita mengurus kemarahan dengan cara yang profesional dengan cara semasa berinteraksi dan berkomunikasi sesama pelanggan, rakan, majikan khasnya sesama Islam untuk membentuk persekitaran kerja dan keadaan yang harmoni, menjaga imej organisasi, menguatkan kepercayaan pelanggan, menjauhkan diri daripada kemurkaan Allah s.w.t. serta yang paling utamanya ialah meningkatkan kesempurnaan iman kita.

Sekian, wassala mualaikum…….

ADAB ISTERI KEPADA SUAMINYA.





ADAB ISTERI KEPADA SUAMINYA.

Ketahuilah bahawa sebagaimana isteri mempunyai beberapa hak dari suaminya, yakni suami wajib menunaikan segala tanggungjawabnya kepada isterinya, maka suami juga mempunyai beberapa hak dari isterinya. Segala yang menjadi hak suami itu bererti kewajipan isteri untuk menunaikannya setiap masa untuk suaminya.

Berkelakuan baik.

Isteri wajib menunjukkan sikap yang baik kepada suaminya. Isteri mesti menunjukkan wajah yang ceria, tidak bermasam muka, walau pun dalam keadaan suasana tidak tenteram, sentiasa senyum dan tidak memarahi anak-anak di hadapan suaminya.


Isteri mesti pandai membuat suasana yang dapat tenteram dan tenang jiwa suaminya. Isteri tidak boleh memberi tahu suaminya perkara yang tidak baik apabila suami balik dari kerja atau dari ziarahi yang jauh.

Dia tidak boleh meminta hal-hal yang dianggap oleh suaminya tidak mampu diberikan. Isteri hendaklah melayan kehendak suaminya yang ia mampu diberikan atau yang tidak menyalahi syariat Islam.

Taat kepada suami.

Allah SWT menjadikan suami sebagai pemimpin rumah tangga, sesuai dengan firman Nya yang bererti:-

“Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh sebab Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian harta merdeka.” (Al-Quran Surah An-Nisa’ aya t34).

Oleh itu isteri sepatutnya mentaati segala perintah atau permintaan suaminya selama yang dimintanya itu tidak bertentangan dengan hukum syarak. Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila seseorang perempuan itu solat lima waktu, puasa sepanjang Ramadan, dia pelihara kemaluannya dan dia ta’ati suaminya maka dikatakanlah kepadanya: ”Masuklah ke dalam syurga dari pintu yang mana sahaja yang engkau sukai. (H.R. Ahmad dan Tabrani)

Melayan kehendak suami.

Isteri wajib menuruti kehendaki suaminya dalam hal yang berkaitan dengan tempat tidur. Dia wajib menuruti permintaan suaminya walaupun dia sedang sibuk di dapur, maka kalau dia enggan malaikat akan mengutuknya sampai pagi hari. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

“Apabila seseorang suami mengajak isterinya ke tempat tidurnya, kemudian isteri tidak mahu datang, lalu si suami tidur dalam keadaan marah kepadanya, maka dia (isteri) akan dilaknat malaikat sampai pagi esoknya.” (H.R. Bukhati dan Muslim)

Dalam hal ini si suami hendaklah bertimbang rasa dan jangan mahu melayan nafsu yang dihasut oleh sayaitan itu, dan janganlah mengajak isterinya kalau isteri, tidak siap untuk itu, kurang sihat, sibuk bekerja, melayan anak-anak atau sebagai lagi.

Sekian dahulu dan akan bersambung lagi secepat mungkin.



------------ooo---------------


Apakah Itu Fitnah


Apakah Itu Fitnah

Dari Tanyalah Ustaz ( Jumaat 20 Aug. 2010):


FITNAH itu boleh berpunca daripada 4 perkara :-


i) Hati yang jahat yang mengandungi perasaan tamak dan haloba. Juga hati yang mengandungi dendam kepada seseorang itu. Termasuklah dendam ehwal dalam parti politik.


ii) Prasangka yang terlintas dalam hati atau fikiran yang diucapkan pada orang lain,

maksudnya, prasangka buruk yang terlintas dalam hati dan fikiran kita tentang seseorang, kita ceritakan pada orang lain. Andainya prasangka buruk yang kita luahkan itu adalah sesuatu yang betul, ia akan menjadi umpatan, sekiranya ia sesuatu yang tidak benar ia menjadi fitnah


iii) Cerita yang tidak lengkap yang agak-agak sahaja atau di reka-reka untuk hendak memburukkan seseorang.


iv) Cerita atau Berita yang ditokok tambah untuk kepentingan diri sendiri atau kroninya supaya beroleh keuntungan dengan berita membuat fitnah itu.

Oleh itu ... saranan penulis ... pada semua dan diri sendiri ... hendaklah bertekad untuk tidak terjebak dalam masalah fitnah atau mengumpat!!! InsyaALLAH :-

I) BERSIHKAN hati daripada sebarang kejahatan atau unsur-unsur yang kotor

dan hendaklah mengamalkan akhlak yang mulia.


II) Yang terlintas dalam hati itu simpan dalam hati, tak payah diluahkan ... & istighfar bayak-banyak agar tidak dimainkan oleh iblis & kuncu-kuncunya.


III) Siasat dulu sebarang cerita atau berita yang didengar, jangan terus menghukum.
Kita kan kaya dengan ayat tanya : Siapa, Bila, Di mana, Mengapa, Bagaimana, Kenapa .. gunakan semuanya!!!


IV) Sebarang cerita atau berita yang ingin disebarkan, kalau bertulis, guna teknik "COPY & PASTE" (setakat betulkan ejaan bolehlah)


Kalau secara lisan, sekarang ni handphone kan ada voice recorder, kita "RECORD & REPLAY" .. degan ini tak ada kemungkinan utuk menokok & menambah sehingga cerita yang kecil menjadi besar, yang tak sensasi jadi sensasi, yang remeh jadi kecoh etc.. etc.. etc

Untuk renungan…Salinan dari Mine..just..Mine…!



----------------------ooooooooooooooo---------------------------

Tunaikanlah solat berjemaah di masjid

ADAB DAN AKHLAK RASULULLAH SAW


ADAB DAN AKHLAK RASULULLAH SAW

Sebagaimana yang diriwayatkan mengenai perilaku Rasulullah s.a.w., bahawa baginda tidak pernah sama sekali memukul seorang pun dengan tangannya, melainkan dipukulnya kerana fi sabillah Taala. Baginda juga tidak pernah memeram dendam kerana sesuatu yang dilakukan ke atas dirinya sendiri, melainkan bila melihat kehormatan Allah dicabuli.

Jika baginda diminta untuk memilih antara dua perkara, tanpa ragu-ragu lagi baginda akan memilih yang paling ringan dan mudah antara keduanya, kecuali jika pada perkara itu ada dosa, atau pun akan menyebabkan terputusnya perhubungan solaturrahim, maka baginda akan menjadi orang yang paling jauh sekali daripadanya. Tiada pernah seseorang yang datang kepada Nabi s.a.w., baik ia merdeka atau hamba sahaya atau pun amah (hamba sahaya perempuan) mengadukan keperluannya, melainkan baginda akan memenuhi hajat masing-masing.

Berkata Anas r.a. “Demi zat yang mengutusnya dengan kebenaran, Dia (Nabi) tiada pernah berkata pada ku dalam perkara yang tiada diingininya, seperti “Mengapa engkau lakukan itu.” Dan apabila isteri-isterinya memarahi ku atas sesuatu yang aku lakukan tidak baik, maka Dia berkata kepada mereka “Biarkanlah si Anas itu, jangan dimarahi Dia, sebenarnya tiap-tiap sesuatu itu berlaku menurut ketentuan dan qadar.”

Termasuk akhlaknya yang mulia, ialah memulakan memberi salam kepada sesiapa sahaja yang di temuinya. Jika ada orang yang mendesaknya kerana sesuatu keperluan, Dia menyabarkannya sehingga orang itu memalingkan muka daripada Baginda. Bila berjumpa dengan salah seorang sahabatnya, segera Dia dahulu akan menghulurkan tangan untuk berjabat tangan. Baginda tidak pernah bangun atau duduk, melainkan lidahnya sentiasa menyebut nama Allah. Sering kali bila sedang sembahyang, lalu ada tetamu yang datang kerana sesuatu keperluan, maka segeralah Dia meringkaskan sembahyangnya untuk menyambut tetamu itu seraya bertanya kepada tetamu itu “Apakah hajat anda untuk saya lalukan.?

Bila baginda berada di dalam sesuatu majlis antara para sahabatnya, tidak pernah dikhususkan satu tempat baginya, melainkan di mana sahaja baginda sampai, di situlah Dia duduk. Baginda selalu menghormati sesiapa sahaja yang mendatanginya, sehingga terkadang-kadang Baginda sampai menghamparkan jubahnya supaya orang itu duduk di atasnya. Sering kali pula Baginda memberikan bantal sandarnya kepada orang yang datang itu, supaya orang itu selesa bersandar padanya. Bila di dalam suatu majlis yang ramai, Baginda menghadapkan wajahnya kepada semua hadirin, satu lepas satu, sehingga seolah-olah kesemua mereka yang berada di dalam majlis itu mendengar percakapannya, untuk menjadi tanda kehalusan budi pekertinya dan perhatiannya di tumpukan kepada setiap orang yang duduk bersamanya di dalam majlis itu. Pada hal majlis Rasulullah s.a.w. itu umumnya ialah majlis yang diliputi oleh kesopanan, kerendahan diri dan amanah.

Allah SWT telah berfirman di dalam al-Quran Surah Ali-Imran, ayat 159 yang bermaksud:

“Oleh sebab rahmat Tuhan, Engkau bersikap lemah lembut terhadap mereka, dan kiranya Engkau berbudi kasar dan berhati bengis, nescaya mereka akan lari dari sekeliling mu.” (Ali Imran ayat 159)

Baginda lebih suka memanggil pada sahabatnya dengan nama gelaran masing-masing untuk menghormati mereka dan memikat hati mereka. Sesiapa yang tidak punya nama gelaran, Baginda memberinya nama gelaran, lalu ia pun dipanggil dengan gelaran itu. Bukan kaum lelaki sahaja yang diberi nama gelaran malah kaum wanita juga, sama ada yang pernah melahirkan anak mahupun yang tidak. Bahkan kepada anak-anak kecil pun demikian juga, sehingga hati anak-anak itu tertarik kepada peribadi Rasulullah s.a.w. itu.

Baginda Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang amat jarang marahnya, terapi jika marah paling segera reda pula. Baginda adalah orang yang berhati belas kasihan terhadap orang ramai, paling baik antara mereka sekalian, dan paling banyak memberikan manfaat kepada seluruh manusia tidak pernah sekali pun terdengar suara yang meninggi diri di dalam semua majlisnya.

Apabila bangun dai majlisnya, Baginda sering kali membaca:

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلـَهَ إِلَّا أَنْتَ

أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلـَيْكَ.

Maksudnya:”Maha suci Engkau wahai Tuhan ku, dengan segala kepujian bagi Mu, aku menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Engkau, aku memohon keampunan kepada Mu dan aku bertaubat kepada Mu.”

Kesimpulan.

Kita hendaklah mengambil iktibar bahawa mengenai akhlak Rasulullah s.a.w. itu bahawa Baginda tidak pernah berdendam sesama manusia dan sentiasa bersabar. Baginda tidak pernah memarahi sesiapa pun. Baginda apabila berjumpa para sahabat dan sesiapa pun Baginda dahulu bersua tangan memulakan memberi salam. Apabila berada di dalam sesuatu majlis Baginda tidak memerlukan satu tempat yang khas bagi Baginda. Baginda suka mengambil nama para sahabat, dengan gelaran yang diberikan dengan tujuan lebih mendapat kesukaan mereka. Baginda amat menaruh sifat belas kasihan dan selalu memberikan perkara-perkara yang mendatangkan manfaat kepada manusia.

Justeru itu marilah kita bersama mengikuti segala adab dan akhlak Rasulullah s.a.w. semoga kita akan beroleh kedamaian dan kemakmuran di dunia dan di akhirat. Amin…..!

---------------------oooooooooooo-----------------

KELALAIAN KERANA MABUK HARTA


KELALAIAN KERANA MABUK HARTA

. Kelalaian kerana Kemabukan Harta.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَن ِ الرَّحِيـم .

اسَّلآمُ عَـلـَيْكـُمْ وَرَحْمَـة ُاللهِ وَبَرَكــَتـُه

Segala pujian bagi Allah s.w.t. Tuhan yang mencipta segala kejadian. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarga dan sahabat-sahatnya sekalian.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَن ِ الرَّحِيـم ِ.

إِنَّ اللهَ وَمَلـَـءِـكَتـَهُ يُصَلـُّوْنَ عَلىَ النَّبِىِّ ج

يَــأ يُّهَا الـَّذِيْنَ ءَا مَنُوْا صَلـُّوْا عَلـَيْهِ وَسَلـِّمُوْا تَسْلِيْمـًـا.


”Allah dan para malaikat memberikan rahmat kepada Nabi. Wahai Orang-orang beriman, berikanlah selawat dan salam kepadanya.

(Al-Ahzab(33); ayat 56.

Firman Allah s.w.t:-

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَن ِ الرَّحِيـم ِ.

وَالـْعَصْرِ (1) إ نَّ الْإِنْسَانَ لـَفِى خُسْرٍ (2)

إ ِلا الـَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَمِلـُوا الصَّلـِحَتِ وَتَوَاصَوْا بِالـْحَقِّ

وَتـَوا صَوْا بِالصَّبْرِ (3)

(1). Demi masa (2) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.

(3). Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berwasiat (nasihat-menasihati) dengan kebenaran dan berwasiat dengan kesabaran

Wahai hamba Allah..! bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengerjakan segala perintahNya dan menjauhkan segala laranganNya.

Kelalaian kerana Kemabukan.

Sabda Rasulullah s.a.w. :

غَشِيَتْكـُمُ السَّكـْرَتَانِ, سَكـْرَةُ حُبِّ الـْعَيْشِ وَحُبِّ الـْجَهْلِ فَعِندذَلـِك لآ تَأْ مُرُونَ بِالـْمَعْرُوفِ, وَلآ تَنْهَوْنَ عَنِ الـْمُنْكـَرِ. وَالـْقَاءِـمُونَ بِالـْكِتَابِ وَالسَّنَّةِ كـَالسَّا بِقِيْنَ الأ وَّلِيْنَ من الـْمُهَاجِرين الْ أنـْصَار. (رواه أبو نعيم عن عاءـشة.)

Bermaksud:-

Telah meliputi akan fikiran kamu oleh dua kelalaian atau kemabukan iaitu

:(1). Mabuk kerana kasih akan hidup di dunia

(2). Mabuk kerana kasih akan barang yang membawa kepada kejahilan, di waktu itu tidak lagilah kamu menyuruh-nyuruh dengan kebajikan, dan melarang yang mungkar, maka siapa yang berpregang dengan Al-Quran dan Hadith dimasa itu ialah sebagai sahabat-sahabat yang dahulu, ahli Mekah, dan ahli Madinah.”

Ulasan.

Manusia sentiasa mengisikan fikiran dan khayalannya sehari-harian dengan dua perkara:-

(1). Ia mabuk dengan fikiran yang amat mengasihi dunia ini yang ianya sentiasa boleh melakukan kemungkaran, kepuasan nafsunya, dapat mengikuti segala ajakan syaitan dengan perkara-perkara akhlak yang buruk dari ajaran Islam.

(2). Manusia mabuk kerana terlalu kasih akan barangan yang membawa kepada kejahatan seperti mempunyai wang banyak yang sentiasa digunakan untuk melakukan maksiat, mempunyai kereta mewah yang boleh ianya berpoya-poya dengan wanita-wanita cantik dan dapat pula melakukan perzinaan, dapat pergi ke tempat-tempat maksiat dan mudah meminunm arak, mudah menipu manusia lain dengan menunjukkan perbuatan riak dan sombong serta bermegah-megah dengan rumahnya yang tersegam besar itu.

Dikala itu tidak lagilah ia mahu menyuruh-menyuruh orang lain mahupun dirinya sendiri untuk melakukan dengan kebajikan dan melarang kemungkaran kerana terlalu kasih akan dunia ini.

Hanya mereka yang berpegang dengan ajaran al-Quran dan al-Hadith sahaja dikala itu akan jadilah sebagai sehabat-sehabat Nabi s.a.w. yang dahulu iaitu ahli Mekah dan ahi Madinah dan mereka itulah yang menjadi orang yang beruntung yang dapat masuk syurga. Firman Allah s.w.t. dalam al-Quran, surah At-Talaq ayat 2 dan 3 :-

وَمَنْ يـَتـَّقِ الله َ يَجْعَلْ لـَّهُ مَخْرَجـًا 2).( وَيـَرْزُقـْهُ مِنْ حـَيْثُ لاَ يـَحـْتـَسِبُ ج. وَمَنْ يَتـَوَكـَّلْ عَلىَ اللهِ فـَهُوَ حَسْبُهُ ج إِنَّ اللهَ بـَلـِغُ أ َمْر ِهِ ج قـَدْ جَعَلَ اللهُ لـِكـُلِّ شَىْءٍ قـَدْرًا (3(

”Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Allah akan lepaskan ia dari masalah hidup dan diberikan Nya rezeki dari sumber yang tidak diduga. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. (At-Talaq ayat 2 dan 3).

Sekian dahulu, semoga kita dapat bersama-sama bermenung dan memikirkan segala perkara tersebut di atas demi untuk kebahagan kita di dunia dan di khirat.

Wassala mualaikum warahmatulla hiwabarakatuh....!

وَالسَّلَامُ عَلـَيْكُمْ وَرَحْمَة ُ اللهِ وَبَرَكـَـتُـهُ.

-----------oooooooooooooo------------

ALLAH MENGASIHI ORANG-ORANG YANG BEREBUAT BAIK


ALLAH MENGASIHI ORANG-ORANG YANG BEREBUAT BAIK

Segala pujian bagi Allah s.w.t. Tuhan yang mencipta segala kejadian. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarga dan sahabat-sahatnya sekalian.

Allah mengasihi orang-orang yang berbuat baik.

Surah Ali-Imran, Ayat 134.

اَلـَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِى السَّرَاءِ وَالضَّبرَاءِ وَالـَكَظِمِينَ

الـَغَيْظَ والـْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ج وَاللهُ يُحِبُّ الـْمُحْسِنِينَ.

“Iaitu orang-orang yang membelanjakan harta-hartanya semasa senang dan susah, orang-orang yang sabar menahan marah, dan orang-orang yang pemaaf terhadap kesalahan manusia, Allah mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan itu.”

(Ali-Imran ayat 134)

.

Firman allah s.sw.t

Brangsiapa mengerjakan kebaikan, baik laki-laki atau perempuan sedang ia beriman, nescaya Kami hidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan Kami balasi mereka dengan pahala yang terlebih baik dari apa yang telah mereka amalkan. (An-Nakhl ayat 97)

Firman allahs.w.t. :-

وَمَنْ يُـؤْ مِنُ بـِاللهِ وَيَعْمـَلْ صَـلِحًـا يـُدْ خـِلْـهُ جـَنـَّت ٍ تـجْر ِ مـنْ تـَحْـتـِهـَا الأ َنـْهـَرُ خـَلِدِينَ فِيهـَآ أ َبَد قـَدْ أ َحْسـَن َ اللهُ لـَهُ رِزْقـًا

Bermaksud:-

Barang siapa yang beriman kepada Allah dan beramal soleh, dimasukkan Allah kedalam syurga, yang mengalir air sungai di bawahnya, serta kekal mereka di dalamnya selama-lamanya. Sugguh Allah memberi kebaikan rezeki untuk mereka. (Al-Thalaq ayat 11)

Terbaik Dalam Kehidupan.

Pengisian terbaik di dalam kehidupan yang mempunyai kesempurnaan akal fikiran adalah memperseimbangkan di antara Keperluan dengan Kemampuan. Maksudnya, dari keperluan yang amat sangat baru digunakan kemampuan yang ada. Maka terpeliharalah hidup di dalam keadaan kesederhanaan yang dituntut oleh Islam kepada penganutnya.

Mengseimbangkan sedemikian amatlah sukar untuk dilaksanakan, kerana tuntutan nafsu mendahului kemunculan kematangan akal fikiran manusia. Justeru, wujudnya apa yang dikatakan Jalan yang Lurus, yang sering dimohonkan kepada Allah s.w.t. melalui pembacaan Surah Al-Fatihah di ayat 6 bermaksud "Tunjukkan kami jalan yang lurus".
Kiasannya. Sekiranya dikatakan jalan semesti ada permukaan atau permulaan jalan tersebut dan ada pula akhirnya garis penamat.

Keinsafan - Adalah permukaan jalan yang lurus.

Kematian - Penamat jalan tersebut.

Firman Allahs.w.t. dalam Surah Al-Fat-H ayat 2 bermaksud:

"Supaya Allah memberi ampunan kepadamu terhadap dosamu yang telah lalu dan yang akan datang serta menyempurnakan nikmat-Nya atasmu dan memimpin kamu kepada jalan yang lurus"

Apabila merasakan keinsafan diri, bererti sudah meletakkan diri dengan sendiri di permukaan "jalan yang lurus", untuk melangkah berjalan semestinya ada persediaan ilmu pengenalan diri atau dengan ertikata lain berkenalan dengan diri sendiri, supaya beroleh kelembutan hati untuk menerima petunjuk jalan yang benar melalui Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w.

Sekiranya tiada persediaan tersebut manusia mudah disesatkan oleh iblis melalui tunggangannya ke atas nafsu sendiri.
Kehebatan dan canggihnya tipu fdaya iblis amat mengelirukan.

Berbuat baik dengan isteri. Menjadi suami teladan.

Suami teladan iaitu suami yang selalu mengerjakan perintah Allah dan menjauhkan segala laranganNya. Ia selalau menjaga hubungan dengan isterinya serta melaksanakan tanggungjawab sesuai dengan kemampuannnya.

Ia selalu berterus terang dengan isterinya. Jika ia mempunyai kekurangan-kekurangan dalam dirinya maka ia akan menyatakan hal tersebut kepada isteri yang disayanginya.

Sebaliknya jik ia mempunyai kelebihan dan pengalaman maka ia selalu akan membahagikan kelebihannya itu kepada isterinya. Suami teladan adalah suami yang baik, tidak mahu menyembuyikan sesuatu rahsia yang tiada disenangi oleh isteri.

Dalam menjalinkan hubungan dengan isterinya,ia bersifat lemah lembut, menghargainya serta memuliakannya. Firman Aah s.w.t. :

يَأَيُّهَا الـَّذِينَ ءَامَنُوْالآيَحِلُّ لـَكُمْ أَنْ تَرِثُوْا النِّسَآءَ كَرْهًا ج

وَلآتَعْضُلـُوهُنَّ لِتـَذْ هَبُوا بِبَعْضِ مَآء

وَلآتَعْضُلـُوهُنَّ لِتـَذْ هَبُوا بِبَعْضِ مَآءَاتَيْتُمُوهُنَّ إِلآّأ َنْ يَأ ْتِيْنَ

بِفَحِشَةٍ مُبَيـِّنَةٍ ج وَعَاشِرُوهُنَّ بِالـْمَعْرُوفِ ج فَإِنْ كَرِهْتُمُو

هُنَّ فَعَسَ~ أَنْ تَكْرَ هُوْا شَيْئًـا وَيَجْعَلَ اللهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا.

(النســاء19)

”Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyuakai sesuatu. Padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.”

Rasulullah s.a.w. merupakan contoh teladan yang harus kita ikuti. Baginda telah menunjukkan pedoman-pedoman tersebut untuk umatnya. Kerana baginda adalah orang yang melayani keluarganya dengan cara yang terbaik. Sabda Rasulullah s.a.w :

”Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluargnya, dan aku adalah yang terbaik daripada kamu terhadap keluarga ku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak mempunyai budi pekerti.” (HR Abu Asakir)

Sekian dahulu dan diharap kita sekalian dalam mengerjakan ibadat kepada Allah, lebih-lebih lagi berkenaan solat, kita perlu memberi perhatian sungguh- sungguh agar kita diberi ganjaran pahala yang lumayan diakhirat kelak.

Sekian dahulu dan di ucapkan....

وَالسَّلَامُ عَلـَيْكُمْ وَرَحْمَة ُ اللهِ وَبَرَكـَـتُـه

---------------------oooooooooooooooo---------------


ZIKRULLAH –MENGINGATI ALLAH.


- ZIKRULLAH –MENGINGATI ALLAH.

Perhubungan mesra antara Ahli Sufi dengan Allah ternyata seperti tersebut dalam ayat al-Quran, Al-Baqarah ayat 152 :-

فَاذْ كـُرُونِىْ أ َذْكـُرْكـُمْ وَاشْكـُرُوالِى وَلَاتَكـْفـُرُونِ.

( البقرة 152)

Bermaksud: “Maka Ingatlah kamu kepada Ku, nescaya Aku ingat kepada mu dan berterima kasihlah kepada Ku dan janganlah kamu menyangkal (nikmat Ku). (Al-Baqarah ayat 152).”

Perhubungan yang rapat dan erat ini membawa kepada penyerahan diri seluruhnya kepada Allah hinggakan diri sendiri terasa tidak ada lagi. Seluruh diri hanya seperti boneka yang digerakkan oleh Allah. Semuanya kerana Allah semata-mata. Orang Sufi mengagung dan menyerahkan durinya kepada Allah hingga ke taraf perasaan bahawa Allah sahaja yang di pandangnya . Inilah yang mereka namakan zikrullah. Zikrullah ini sangat besar faedah dan hasilnya. Firman Allah s.w.t. di dalam al-Quran Yang Mulia:-

وَاذْكـُرْ رَّبَّكَ كـَثِيرًا وَسَبِّحْ بِالـْعَشِىِّ وَالْإِبْكـَرِ(41)

Bermaksud: “Sebutlah nama Tuhanmu sebanyak-banyak serta bertasbihlah pada waktu petang dan pagi.” (Surah Al-Imran, ayat 41)

فَإِذَاقَضَيْتُمُ ا لصَّلـَوةَ فَاذْكـُرُواللهَ قِيَمًا وَقـُعُودًا

وَعَلىَ جُنـُوبـِكـُمْ ج. (103)

”Apabila kamu telah menyelesaikan solat, ingatlah Allah pada waktu berdiri, duduk dan berbarinag. (Surah An Nisa’ ayat 103)

اِنَّنِىْ أ َنَا اللهُ لَا إِلـَهَ إِلا َّاّنَا فَاعْبُدْ نِىْ وَأَقِمِ الصَّلـَوةَ

لِذِكـْرِىْ. (طـَـــهَ, اية 14)

“Sesungguhnya Akulah Allah, tidak ada Tuhan kecuali Aku, sebab itu sembahlah Aku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Aku.”

(Surah Tohaa, ayat 14).

“Sesungguhnya mengingati Allah itu adalah lebih besar” (Surah al-Ankabut ayat 45)

“Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama ) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya” (Surah Al-Ahzab. ayat 41)

Ada banyak lagi ayat dalam al-Quran yang menunjukkan ketinggian dan kemuliaan Zikrullah ini. Mungkin ada orang meanggap zikir ini hanya ingat kepada Allah atau nama-nama Nya seperti ingatan yang biasa sahaja. Setelah ayat-ayat tentang ingatan (zikrullah) itu turun, orang bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan meminta penjelasan tentang istilah zikir ini. Adalah dilaporkan dalam hadis bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda. ) الله لَا إِلـَهَ " ( la illaha illa " itu kalimat yang paling baik untuk zikrullah.”

Pendek kata tidak ada yang paling agung pada pandangan Allah selain zikrullah. Maha Suci Allah, la ilaha Illah. ) الله لَا إِلـَهَ).

Sesiapa pun boleh mengenang Allah (zikrullah) dengan fikiran atau lisan pada bila-bila masa. Tetapi adalah lebih beramai-ramai duduk membentuk satu bulatan dan berzikir selepas sahaja menunaikan solat sama ada solat Maghrib, Isyak mahupun Subuh. Tidak mengapa seseorang itu membuat amalan zikrullah itu secara sederhana sahaja seorang diri, tetapi hendaklah secara berterusan dari sedikit-sedikit, pada waktu selepas Subuh dan kemudiannya selepas Maghrib dan Isyak.

Nabi Muhammad s.a.w. menjelaskan tentang apa yang terjadi dalam majlis zikrullah. Nabi bersabda bahawa sekumpulan malaikat diberi tugas khusus oleh Allah s.w.t. membuat rondaan di muka bumi ini untuk melihat orang yang berzikir itu. Apabila malaikat itu berjumpa dengan jemaah orang berzikir itu, malaikat itu berasa sukacita, lalu memanggil lebih banyak lagi malaikat masuk dalam kumpulan itu. Apabila majlis zikir itu tamat, malaikat itu pun kembali ke langit lalu melaporkan kepada Allah s.w.t. bahawa mereka kembali dari majlis zikir yang meagagung dan memuji Allah.

Kemudian Allah s.w..t berfirman kepada malaikat bahawa Ia telaah mengampunkan semua dosa mereka yang berzikir itu, termasuk juga ada seorang yang tidak berzikir tetapi menyertai kumpulan itu, Allah juga mengampunkan dia kerana sudi bersama-sama mereka.

Antara 10 khasiat zikrullah itu ialah :-

1. Menghalau tenaga-tenaga jahat dan mengelakkannya.

2. Mendapat keredaan Allah dan mengampun dosa.

3. Memurahkan rezeki.

4. Membuat peribadi mulia dan agung.

5. Memcapaia taraf kehampiran dengan Allah.

6. Menghidup dan menyedarkan hati.

7. Menghilangkan kesilapan dan kecacatan.

8. Memelihara percakapan daripada mengumpat dan mengeji.

9. Menyembuhkan penyakit hati

10. Membuang ketakutan dan dukacita dalam hati.

11. Menghindarkan sifat-sifat munafik.

12. Allah akan mengkabulkan segala hajat.

Ada satu penjuru dalam hati yang tidak dapat dibuka kecuali dengan zikrullah. Dalam penjuru itu kuasa Ketuhanan berada. Zikrullah adalah satu alat yang penting dalam semua amalan tareqat Kesufian. Apabila seseorang sampai dalam peringkat perlakuan zikrullah yang ikhlas dan luhur, maka sampailah ia ke tahap di mana ilmu yang diperolehi daripada buku atau kitab tidak perlu lagi. Jika keadaan berzikir ini berkembang subur terus menerus, zikir ini membawa seseorang, dengan izin Allah, ke peringjkat yang paling tinggi dalam evolusi kemanusiaan, dan ia akan mencapai kunci sumber mukjizat.

أ َشْهَدُ أ َنْ لآ إ ِلـَـهَ أِ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ

لـَهُ ,وَأ َشْهَدُ أ َنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولـُهُ.

اَللـَّهُمَّ اجْعَلـْنِى مِنَ التَّوَّبِيْنَ وَاجْعَلـْنِى مِنَ

الـْمُطَهِّرِيْنَ وَالجْعَلـْنِىْ مِنْ عِبَادِكَ

الصَّالِحِينَ.

Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah tiada sekutu bagi Nya dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad itu hamba Nya, Ya Allah jadikan aku daripada orang yang bertaubat dan jadikanlah aku daripada orang yang suci dan jadikanlah aku daripada hamba-hamba Engkau yang soleh.

Sekian dahulu dalam bab ini, semoga anda mendapat manfaat darinya.

Wassala mualaikum warahmatulla hiwabarakatuh....!

(Rujukan Kitab Ilmu Perubatan Kesufian, m.s. 147)

-------------ooooooooooooooo-------------